Apa kata MTUC mengenai gaji minima di Malaysia?
MTUC tetap mahu gaji minimum pekerja swasta RM1,200
KUALA LUMPUR 24 Mac - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tetap dengan pendiriannya bahawa pekerja sektor swasta di Malaysia hendaklah dibayar gaji minimum RM1,200 termasuk elaun kos sara hidup.
Pandangan MTUC itu dinyatakan menerusi blog Kementerian Sumber Manusia yang dilancarkan hari ini bagi mendapatkan pandangan daripada orang ramai berhubung pelaksanaan gaji minimum di kalangan pekerja sektor swasta di negara ini.
Sejurus selepas dilancarkan, dua pihak iaitu MTUC dan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) memberi pandangan masing-masing berhubung perkara itu.
Dalam blog.mohr.gov.my itu, MTUC berpendapat, kos sara hidup di negara ini terus meningkat sedangkan pendapatan pekerja tidak dapat mengimbangi perbelanjaan yang harus ditanggung.
"Kita tidak dapat membayangkan bagaimanakah keadaan kehidupan pekerja nanti setelah subsidi beberapa barangan dan perkhidmatan ditarik balik.
"Tanpa gaji yang munasabah sudah tentu kehidupan golongan yang berpendapatan rendah akan bertambah teruk," kata kenyataan itu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam hari ini melancarkan blog berkenaan bagi mendapatkan pandangan daripada orang ramai berhubung pelaksanaan gaji minimum di kalangan pekerja sektor swasta.
Di dalam blog itu, MTUC turut menyatakan, persatuan itu sedar bahawa para majikan tidak akan menaikkan gaji pekerja masing-masing, maka campur tangan pemerintah dalam memperkenalkan undang-undang bagi gaji minimum adalah sangat diperlukan.
"Objektif dan hasrat kerajaan untuk mencapai Model Ekonomi Baru (MEB) iaitu menjadi negara berpendapatan tinggi agak sukar dicapai tanpa adanya gaji minimum yang munasabah," jelas MTUC.
Sementara itu, MEF pula berpendapat, cadangan pelaksanaan gaji minimum adalah tidak produktif kerana sistem upah sedia ada berfungsi dengan baik.
Menurut persekutuan itu, sistem sedia ada sudah memadai kerana upah ditentukan berdasarkan kepada kuasa pasaran dan bagi pekerja yang mempunyai kesatuan mereka boleh berunding dengan majikan dalam menentukan kadar upah masing-masing.
"Kaedah ini adalah lebih baik daripada penetapan kadar gaji minimum. Ia juga tidak menjamin kepada perkembangan ekonomi negara.
"Oleh itu, apa yang kerajaan patut lakukan adalah mempromosikan dan mempraktikkan sistem gaji berdasarkan kepada prestasi pekerja masing-masing," katanya.
petikan dari utusan
petikan dari utusan
Utusan Malaysia (15 Januari 2010)
PUTRAJAYA 14 Jan. - Perintah peraturan gaji minimum untuk beberapa kategori pekerjaan termasuk pengawal keselamatan, pembantu klinik, pekerja am kebun serta pekerja sektor hidangan dan hotel akan diwartakan tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, serentak dengan itu, penetapan gaji minimum untuk pengawal keselamatan serta pekerja sektor hospitaliti dan hotel akan diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi.
Menurutnya, gaji minimum untuk pekerja sektor elektronik dan tekstil pula akan diumumkan dalam tempoh enam hingga lapan bulan lagi.
"Saya telah bersedia untuk umumkan (gaji minimum) bagi pengawal keselamatan dan pekerja sektor hidangan dan hotel dalam masa terdekat.
"Gaji pengawal keselamatan di pasaran sekarang adalah amat rendah iaitu sekitar RM350 hingga RM400, justeru kita perlu ubah keadaan ini," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan pelancaran logo 1KSM di sini hari ini.
Subramaniam berkata, pelaksanaan gaji minimum perlu melibatkan perundingan dengan pelbagai pihak dan agensi untuk mengelakkan kesan negatif yang mungkin timbul.
"Pelaksanaan gaji minimum di negara lain menggunakan pendekatan berbeza iaitu secara nasional, wilayah atau mengikut sektor.
"Kita perlu mengkaji kaedah yang sesuai untuk memastikan pekerja tidak menerima kesan negatif selepas gaji minimum dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya telah menyediakan draf peraturan kerja separa masa untuk memastikan pekerja-pekerja kategori itu dilindungi dan menikmati faedah.
"Peraturan ini digubal untuk memastikan lebih ramai rakyat bekerja secara sambilan dan secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bercadang menubuhkan tabung khas untuk membantu pekerja yang diberhentikan.
"Perkeso juga akan mengukuhkan program pemulihan prestasi ke atas pekerja yang cedera dalam kemalangan supaya mereka dapat kembali bertugas.
"Program pemulihan ini melibatkan pegawai yang memiliki kepakaran dalam psikologi, kerja sosial dan fisioterapi," katanya.
Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata, pusat-pusat kaunseling akan diwujudkan di pejabat Perkeso terpilih, pusat beli-belah dan perhentian bas untuk memberi bantuan.
"Pegawai-pegawai yang ditugaskan di pusat-pusat kaunseling ini akan membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan sesuai serta menggunakan kemudahan portal Jobs Malaysia," katanya.
sumber:
Kementriansumbermanusia
Tinggalkanlah sepatah dua pendapat untuk kita kongsi bersama agar kita semua mendapat kebaikan dan manafaat darinya..
1 ulasan:
jabatan perkhidmatan awam tak dapat kenaikan gaji ke?
Catat Ulasan