Sabtu, 25 September 2010

Bonus tahunan untuk penjawat jabatan perkhidmatan awam tahun ini 2010

Cuepacs harap k'jaan timbang bonus penjawat awam tahun ini Kita memang mengharapkan agar pihak kerajaan dapat menimbangkan untuk memberikan bonus kepada semua kakitangan awamnya pada tahun ini yang akan diterima pada hujung tahun atau awal tahun depan. Cuepacs sentiasa berjuang dalam mendapatkan imbuhan-imbuhan seperti ini dan diharapkan agar mereka berjaya dalam mendapatkan sesuatu pada tahun ini (depan). Kita ikuti apa sabahtimes catatkan mengenai bonus tahun ini (depan).

SEREMBAN: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam pada pembentangan bajet bulan depan. Presidennya Omar Osman berkata Cuepacs sudah menghantar permohonan mengenai perkara itu kepada kerajaan.

“Sudah dua tahun penjawat awam tidak mendapat bonus sejak 2008 dan adalah diharapkan tahun ini kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus tersebut. Kita mohon dua bulan bonus, namun jika tidak boleh dua bulan, sekurang-kurangnya sebulan.

“Bagaimanapun, ia terserah kepada kebijaksanaan dan kemampuan kerajaan. Kita berharap pemberian bonus ini dapat dipertimbangkan memandangkan keadaan ekonomi negara yang semakin menyakinkan,” katanya kepada pemberita, di sini kelmarin. Beliau yang ditemui selepas majlis Aidilfitri bersama pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Sembilan berkata pemberiaan bonus itu sudah pasti dapat meringankan beban tanggungan dan menyuntik semangat baru kepada 1.2 juta penjawat awam di seluruh negara.

Katanya ia juga merupakan ransangan bagi penjawat awam untuk menjayakan setiap dasar kerajaan. “Penjawat awam merupakan tulang belakang kerajaan…jika mereka ceria maka cerialah kerajaan. Saya harap tidak ada pihak yang mempertikaikan pemberian bonus kepada penjawat awam ini kerana jika tidak Cuepacs tidak memperjuangkan, siapa lagi. “Selain bonus, Cuepacs dipertanggungjawabkan memperjuangkan kebajikan penjawat awam termasuk masalah gaji, elaun, insentif, perubatan, lanjutan umur persaraan dan sebagainya,” katanya.

Mengenai isu berlainan, Omar turut meminta kerajaan supaya segera serapkan 14,500 warga Kemas yang berkhidmat secara kontrak ke jawatan tetap memandangkan perkara itu telah lama tertangguh.

“Dalam kedudukan ini, mereka yang terbabit didapati merasa gusar serta dalam keadaan tidak tenang dan tertekan untuk menjalankan tugas kerana kedudukan mereka yang masih terumbang-ambing dan tidak ada jaminan.

“Perkara ini telah lama dibawa ke pengetahuan kerajaan, namun sehingga kini masih belum dapat jawapan. Oleh itu, kita harap kerajaan dapat mengatasi perkara ini dengan segera, kalau boleh dalam tahun ini juga,” katanya.

sumber:
Sabahtimes

Tinggalkanlah sepatah dua pendapat untuk kita kongsi bersama agar kita semua mendapat kebaikan dan manafaat darinya.. 

Bookmark and Share

Jumaat, 24 September 2010

Potongan gaji untuk peminjam PTPTN hanya dilaksanakan pada 2013

Ini berita baik untuk semua peminjam PTPTN...

Ini keratan akhbar dari berita harian..

Apa yang ditulis oleh media yang mengatakan bahawa pemotongan akan dilaksanakan bermula Jun 2011 itu tidak benar kerana belum ada perbincangan yang dibuat setakat ini. Selepas dibincangkan dengan pelbagai pihak, perkara ini perlu di bawa ke parlimen untuk dibahaskan. Selain itu pihaknya juga akan menentukan tahap minimum yang perlu dibayar oleh peminjam.

Lebih 1.5 juta peminjam PTPTN di mana 46,000 orang daripadanya adalah peminjam yang liat membayar dan akan diwajibkan membayar balik pinjaman secara potongan gaji melalui LHDN. Tambahan itu datuk khalid menerangkan yang kos pengurusan 3% akan diturunkan kepada 1% tetapi ini akan mengambil sedikit masa terutama untuk menyeragamkan semua pinjaman.

Oleh itu anda yang pernah meminjam dengan PTPTN mestilah bersedia dari sekarang. Jangan nanti apabila sampai masa pembayaran wajib nanti, anda masih menghadapi masalah dalam menguruskan masalah kewangan anda. 

Saya percaya ramai yangpernah meminjam dengan PTPTN dan masih belum memulakan pembayaran pinjaman pada ketika ini. Ini sebenarnya bukanlah urusan saya tetapi saya hanya mengingatkan tentang tanggungjawab anda terhadap pinjaman yang pernah anda buat.
Mungkin jika tanpa pinjaman ini maka anda tidak akan berada pada kedudukan anda sekarang. Bagi yang ingin memulakan pembayaran lebih awal, kaedah-kaedah pembayaran boleh disemak di laman web gov.com.

Akhirnya aku ucapkan selamat menjelaskan hutang anda yang masih tertunggak..hehe


Tinggalkanlah sepatah dua pendapat untuk kita kongsi bersama agar kita semua mendapat kebaikan dan manafaat darinya.. 

Bookmark and Share

Isnin, 20 September 2010

Gaji minimum bagi sektor terpilih diumum Mac 2011..dan permintaan MTUC

Apa kata MTUC mengenai gaji minima di Malaysia?

MTUC tetap mahu gaji minimum pekerja swasta RM1,200

KUALA LUMPUR 24 Mac - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tetap dengan pendiriannya bahawa pekerja sektor swasta di Malaysia hendaklah dibayar gaji minimum RM1,200 termasuk elaun kos sara hidup.
Pandangan MTUC itu dinyatakan menerusi blog Kementerian Sumber Manusia yang dilancarkan hari ini bagi mendapatkan pandangan daripada orang ramai berhubung pelaksanaan gaji minimum di kalangan pekerja sektor swasta di negara ini.
Sejurus selepas dilancarkan, dua pihak iaitu MTUC dan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) memberi pandangan masing-masing berhubung perkara itu.
Dalam blog.mohr.gov.my itu, MTUC berpendapat, kos sara hidup di negara ini terus meningkat sedangkan pendapatan pekerja tidak dapat mengimbangi perbelanjaan yang harus ditanggung.
"Kita tidak dapat membayangkan bagaimanakah keadaan kehidupan pekerja nanti setelah subsidi beberapa barangan dan perkhidmatan ditarik balik.
"Tanpa gaji yang munasabah sudah tentu kehidupan golongan yang berpendapatan rendah akan bertambah teruk," kata kenyataan itu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam hari ini melancarkan blog berkenaan bagi mendapatkan pandangan daripada orang ramai berhubung pelaksanaan gaji minimum di kalangan pekerja sektor swasta.
Di dalam blog itu, MTUC turut menyatakan, persatuan itu sedar bahawa para majikan tidak akan menaikkan gaji pekerja masing-masing, maka campur tangan pemerintah dalam memperkenalkan undang-undang bagi gaji minimum adalah sangat diperlukan.
"Objektif dan hasrat kerajaan untuk mencapai Model Ekonomi Baru (MEB) iaitu menjadi negara berpendapatan tinggi agak sukar dicapai tanpa adanya gaji minimum yang munasabah," jelas MTUC.
Sementara itu, MEF pula berpendapat, cadangan pelaksanaan gaji minimum adalah tidak produktif kerana sistem upah sedia ada berfungsi dengan baik.
Menurut persekutuan itu, sistem sedia ada sudah memadai kerana upah ditentukan berdasarkan kepada kuasa pasaran dan bagi pekerja yang mempunyai kesatuan mereka boleh berunding dengan majikan dalam menentukan kadar upah masing-masing.
"Kaedah ini adalah lebih baik daripada penetapan kadar gaji minimum. Ia juga tidak menjamin kepada perkembangan ekonomi negara.
"Oleh itu, apa yang kerajaan patut lakukan adalah mempromosikan dan mempraktikkan sistem gaji berdasarkan kepada prestasi pekerja masing-masing," katanya.

petikan dari utusan


Apa pula kata Kementerian Sumber Manusia?

Utusan Malaysia (15 Januari 2010)

PUTRAJAYA 14 Jan. - Perintah peraturan gaji minimum untuk beberapa kategori pekerjaan termasuk pengawal keselamatan, pembantu klinik, pekerja am kebun serta pekerja sektor hidangan dan hotel akan diwartakan tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, serentak dengan itu, penetapan gaji minimum untuk pengawal keselamatan serta pekerja sektor hospitaliti dan hotel akan diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi.

Menurutnya, gaji minimum untuk pekerja sektor elektronik dan tekstil pula akan diumumkan dalam tempoh enam hingga lapan bulan lagi.

"Saya telah bersedia untuk umumkan (gaji minimum) bagi pengawal keselamatan dan pekerja sektor hidangan dan hotel dalam masa terdekat.

"Gaji pengawal keselamatan di pasaran sekarang adalah amat rendah iaitu sekitar RM350 hingga RM400, justeru kita perlu ubah keadaan ini," katanya.

 Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan pelancaran logo 1KSM di sini hari ini.

Subramaniam berkata, pelaksanaan gaji minimum perlu melibatkan perundingan dengan pelbagai pihak dan agensi untuk mengelakkan kesan negatif yang mungkin timbul.

"Pelaksanaan gaji minimum di negara lain menggunakan pendekatan berbeza iaitu secara nasional, wilayah atau mengikut sektor.

"Kita perlu mengkaji kaedah yang sesuai untuk memastikan pekerja tidak menerima kesan negatif selepas gaji minimum dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya telah menyediakan draf peraturan kerja separa masa untuk memastikan pekerja-pekerja kategori itu dilindungi dan menikmati faedah.

 "Peraturan ini digubal untuk memastikan lebih ramai rakyat bekerja secara sambilan dan secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bercadang menubuhkan tabung khas untuk membantu pekerja yang diberhentikan.

"Perkeso juga akan mengukuhkan program pemulihan prestasi ke atas pekerja yang cedera dalam kemalangan supaya mereka dapat kembali bertugas.

"Program pemulihan ini melibatkan pegawai yang memiliki kepakaran dalam psikologi, kerja sosial dan fisioterapi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata, pusat-pusat kaunseling akan diwujudkan di pejabat Perkeso terpilih, pusat beli-belah dan perhentian bas untuk memberi bantuan.

"Pegawai-pegawai yang ditugaskan di pusat-pusat kaunseling ini akan membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan sesuai serta menggunakan kemudahan portal Jobs Malaysia," katanya.


sumber:
Kementriansumbermanusia



Tinggalkanlah sepatah dua pendapat untuk kita kongsi bersama agar kita semua mendapat kebaikan dan manafaat darinya.. 

Bookmark and Share